Saya dilahirkan dalam keluarga sederhana di suasana kampung di Kelantan. Latar belakang keluarga saya adalah sangat ringkas, bapa saya seorang mandur di sebuah kilang papan di kampung berdekatan dan ibu saya hanya mengambil upah menjahit pakaian. Walau bagaimanapun saya tetap kagum dengan perwatakan kedua-dua orang tua saya kerana kedua-duanya tamat tingkatan lima di sekolah Inggeris di Kota Bharu. Bapa mempunyai cita-cita yang terhalang disebabkan bapa merupakan satu-satunya anak lelaki dan bongsu daripada dua orang adik-beradik. Oleh itu cita-citanya untuk menyertai badan beruniform polis telah dihalang oleh orang tuanya kerana tidak mahu anak lelakinya berjauhan daripada keluarga dan kampung halaman. Manakala ibu saya merupakan anak perempuan sulung kepada lapan beradik menyebabkan peluang yang pernah datang kepadanya untuk berkhidmat sebagai jururawat juga tidak direstui orang tuanya. Apa yang ingin saya katakan di sini, walaupun kedua-dua orang tua saya tidak dapat meneruskan perjalanan kehidupan mengikut cita-cita masing-masing, tetapi mereka amat optimis terhadap kehidupan dan sering mengingatkan kami untuk menggunakan peluang yang diberikan.
Leadership adalah satu perkataan yang biasa diucapkan oleh bapa saya kepada anak-anaknya sejak di bangku sekolah lagi. Sewaktu di bangku sekolah, bapa sering menyebut tentang pemimpin serta sering menceritakan kepada kami adik-beradik tentang kepimpinan dan dalam ceritanya itu sering menyebut, “Anak-anak ayah ni besar nanti nak jadi apa? Doktor? Lawyer? Tapi kalau tak jadi doktor, lawyer pun tak pa..ayah nak juga tengok anak-anak ayah jadi pemimpin. Jadi ketua orang. Kamu kena belajar rajin-rajin dan dapatkan keputusan yang bagus. Besar nanti boleh sambung belajar di Universiti. Pergi luar negara..” Pada ketika itu kami yang masih di bangku sekolah tidak mengerti kata-kata bapa yang ingin melihat anak-anaknya menjadi pemimpin. Bagi kami, cukup mengujakan jika dapat bergelar juruterbang. Itulah cita-cita saya sejak kecil hingga sekarang, ingin bergelar juruterbang. Saya juga mempunyai sifat yang agak agresif berbanding dengan dua adik lelaki dan bapa juga sering menyebut “Kamu ni cepat (agresif), cakap apa-apa cepat respon. Adik-adik tengok, macam ni la baru boleh jadi boss orang..” Saya melihat keadaan ini mungkin disebabkan jarak umur antara kakak dan saya yang jauh, iaitu sepuluh tahun. Oleh itu saya sering memainkan peranan kakak (sulung) kepada dua orang adik lelaki. Mungkin di sini bapa melihat ada ciri-ciri pemimpin pada diri saya. Pada ketika itu, bapa adalah pemimpin yang saya kagumi. Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi atas talian, kepimpinan ditakrifkan sebagai keupayaan untuk memimpin atau kualiti atau sifat-sifat tertentu pada seseorang yang menjadikannya berupaya mempengaruhi atau menjadi perangsang kepada khalayak ramai.
Jika perlu menamakan satu orang insan yang memberi kesan yang besar ke atas diri saya sebagai pemimpin, persoalan itu sukar untuk dijawab kerana sepanjang perjalanan kehidupan saya, saya mempunyai sebilangan insan yang signifikan dalam membentuk personaliti saya pada hari ini. Bermula daripada kedua-dua orang tua saya, Bhikku atau Than Boon iaitu seroang sami Buddha di sebuah wat di kampung saya, pemimpin-pemimpin dunia yang lain seperti Adolf Hitler, Raja Bhumibol dan ramai lagi. Tokoh-tokoh ini mempunyai impak yang unik dan berbeza-beza mengikut keadaan pada masa itu.
Than Boon yang merupakan seorang sami Buddha di Wat Uttamarram walaupun mungkin tidak dikenali oleh masyarakat luar. Tetapi bagi saya beliau memainkan satu peranan yang sangat besar sebagai seorang guru agama, guru Bahasa Thai serta guru yang mengajar pelbagai aspek kehidupan khususnya dalam aspek membina karektor kepimpinan dalam diri saya. Hubungan guru dan pelajar di antara saya dan Than Boon bermula sejak saya berusia lapan tahun iaitu semasa menjadi pelajar darjah dua di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang. Saya telah didaftarkan untuk mengikuti kelas Bahasa Thai di wat tersebut yang diajar secara percuma kepada kanak-kanak dan anak muda berketurunan Siam di sekitar kampung. Kelas tersebut diajar oleh sami-sami dan dibantu oleh anak-anak muda yang sudah menamatkan pelajaran. Ia diajar secara tidak formal dan kelas diadakan pada setiap hari. Saya seharusnya mengikuti kelas tersebut pada setiap petang setelah waktu persekolahan di sekolah formal tamat. Namun dengan pelbagai alasan seperti perlu menyiapkan kerja sekolah, mempunyai aktiviti sukan pada waktu petang, ingin mengulang kaji pelajaran dan pelbagai lagi diberikan untuk mengelak daripada hadir ke kelas tersebut. Perkara tersebut berterusan sehinggalah saya berada di tingkatan tiga.
Dalam tempoh yang begitu panjang, hampir tujuh tahun saya sebenarnya berpeluang untuk mengenali Than Boon dengan dekat. Sepanjang tempoh itu, beliau tidak pernah mengenali erti penat atau jemu untuk menghubungi ibu dan bapa saya dan menyampaikan pesanan mengarahkan saya hadir ke kelasnya. Segala cara perhubungan digunakan olehnya untuk memastikan saya hadir ke kelas, termasuklah melalui panggilan telefon, menjemput sendiri saya di rumah, menumpangkan kawan-kawan yang lain dan pelbagai lagi. Walaupun saya sering sahaja tidak hadir ke kelasnya, beliau tidak pernah memarahi atau mengeluarkan kata-kata yang menyakiti atau kata-kata negatif terhadap saya. Beliau hanya menasihati dan menjelaskan mengapa saya perlu hadir ke kelas dan mengapa beliau tidak jemu melakukan perkara yang sama berulang kali tanpa jemu. Malah beliau telah memberikan saya peluang untuk menjelaskan mengapa saya tidak mahu hadir ke kelas tersebut. Saya pada ketika berasa hairan mengapa saya tidak dihukum dan sebaliknya hanya diminta untuk bercakap mengapa saya tidak mahu mengikuti kelas. Adakah ini satu denda atau hukuman? Adakah guru cuba untuk memalukan saya di hadapan kawan-kawan yang lain? Saya mula berani bercakap di khalayak ramai setelah Than Boon ‘mendenda’ saya menggunakan kaedah ini.
Bermula daripada itu, beliau sering sahaja meminta saya untuk bercakap di khalayak ramai misalnya semasa perhimpunan pelajar-pelajar masyarakat Siam di kampung, semasa hari kebesaran dan lain-lain perayaan yang disambut. Peluang yang disediakan oleh Than Boon ini telah menjadi platform kepada saya untuk menanam rasa yakin pada diri untuk berbicara di hadapan orang ramai yang sudah tentu ada orang yang dikenali dan ada orang yang tidak dikenali. Ia telah melatih diri saya untuk memilih perkara yang bersesuaian untuk diperkatakan apabila kita bercakap di dalam situasi yang pelbagai. Pada pandangan saya perkara ini adalah penting kerana ia menjadi asas kepada keyakinan dalam diri saya walaupun pada ketika itu saya belum menyertai skim perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik. Than Boon sendiri juga merupakan mentor yang melatih dan mengajar saya bagaimana untuk berkomunikasi dalam membuat ucapan. Beliau telah membuka peluang kepada saya untuk menghadiri sebagai peserta semasa Konferen Agama Buddha, memperkenalkan kepada pemimpin Buddhist yang terkenal serta memperkenalkan saya kepada Buddhist Maha Vihara dan pelbagai pengalaman baru yang sukar dicari. Walaupun beliau seorang sami, tetapi beliau juga merupakan seorang pemimpin yang berjiwa besar kerana beliau sering menekankan aspek pendidikan sama ada formal atau tidak formal, aspek sukan, aspek sosial dan kebudayaan serta aspek keharmonian di antara kaum. Beliau mampu untuk menguasai kesemua aspek tanpa perlu mendaptkan segulung ijazah dan bergelar Pegawai Tadbir dan Diplomatik, dan beliau melakukannya dengan usaha dan pemahaman sendiri tanpa memerlukan tunjuk ajar daripada orang lain. Bagi aspek ini saya amat mengkagumi sifat-sifat kepimpinannya dan saya meletakkan Than Boon sebagai mentor kerohanian dan pemimpin nombor satu dalam kehidupan saya.
Persoalan dari adakah budaya atau persekitaran, pemimpin atau nilai-nilai yang diamalkan yang menjadi sumber pendapat atau buah fikiran yang hebat datang dalam sesebuah organisasi juga sering tercetus di fikiran saya. Saya cuba menjawab persoalan ini dalam pelbagai perspektif, iaitu saya berpendapat kadang kala idea itu tercetus hasil daripada pemikiran kreattif seseorang pemimpin itu sendiri misalnya apabila saya berkhidmat di salah sebuah Kementerian di bawah pegawai penyelia yang sentiasa berfikiran terbuka dan gemar berfikir di luar kotak, saya dapat mempelajari daripadanya bahawa walaupun usia dalam perkhidmatan awam masih muda, ia tidak semestinya bermakna kita tidak cekap bekerja dan tidak boleh memperkenalkan pembaharuan. Ini kerana dalam jangka masa lebih kurang lima bulan saya berada di bawah penyeliaannya, beliau banyak mengajar dan melatih saya untuk berfikiran lebih matang dan kreatif. Beliau mengajar saya untuk memudahkan sesuatu tugas itu dilaksanakan tanpa berkompromi dengan kualiti output. Saya juga melihat kepimpinannya terserlah apabila beliau sering diberi kepercayaan untuk mengetuai pelbagai jawatankuasa oleh pihak pengurusan tertinggi Kementerian setiap kali sesuatu majlis atau program diadakan. Peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak atasan ini adalah budaya atau persekitaran yang menggalakkan sifat kepimpinan beliau digilap dengan lebih sempurna. Oleh itu, idea bernas sebenarnya datang daripada pelbagai faktor dan bagi menggalakkan pencetusan idea yang bernas, kita hendaklah mengamalkan pemikiran terbuka dan tidak membuat keputusan secara emosional.
Walaupun pemimpin merupakan insan yang boleh dikatakan paling mulia di antara insan yang kita kenali dan golongan pemimpin inilah yang menjadi sasaran untuk kita menjadikan tanda aras, tetapi mereka juga tetap insan biasa yang bisa melakukan kesilapan. Kadang kala kesilapan yang dibuatnya adalah kesilapan yang sama dan berulang-ulang. Pada pemerhatian saya, pemimpin kerap kali melakukan kesilapan dalam segi memperkotakan janji-janji yang ditaburkan. Saya tidak ingin memandang serong dan menuduh golongan pemimpin sebagai golongan yang pandai berkata-kata tetapi tidak pandai mengotakan janji-janjinya. Saya lebih selesa melihat golongan pemimpin sebagai golongan yang mempunyai agenda yang pelbagai untuk memenuhi semua keperluan dan kehendak masyarakat atau orang-orang yang dipimpinnya. Oleh itu mereka mungkin kadang kala lupa atau tidak dapat memenuhi kesemua janji yang diperkatakan.
Pemimpin juga cenderung melakukan yang sama iaitu membawa pembaharuan yang dianggap olehnya sebagai sesuatu yang baru dan harus dilakukan dengan segera. Misalnya seseorang pemimpin yang baru memegang pucuk pimpinan akan cuba memperkenalkan pelbagai projek atau rancangan dengan menekankan bahawa pembaharuan itu amat diperlukan pada sesuatu zaman atau era pemerintahannya dan ia perlu dilakukan segera. Mereka juga cenderung untuk menyebut berulang kali bahawa mereka cuba untuk membawa pembangunan itu untuk kesejahteraan rakyat dan projek itu adalah projek yang diperkenalkan oleh jentera pemerintahannya. Kadang kala tindakan pemimpin yang sering menyebut tentang projek-projek yang telah dilakukannya menimbulkan satu perasaan yang kurang senang kerana ia seolah-olah pemimpin itu meminta jasa dan budi yang telah ditaburkan itu dibalas dengan terus memberi sokongan (memilih) mereka untuk memerintah negara sedangkan sememangnya menjadi tanggungjawab setiap pemimpin untuk menaburkan jasa dan bakti kepada rakyat jelata apabila mereka menjadi pemerintah. Malah ia juga adalah janji-janji yang dibawa dalam manifesto masing-masing semasa berkempen.
Pemimpin juga kerap melakukan kesilapan dalam segi berasa selesa untuk memerintah atau memegang pucuk pemerintahan dalam jagka masa yang lama. Pemimpin yang baik akan membawa pelbagai pembaharuan dan pembangunan yang akan memberi kesejahteraan kepada rakyat. Pembangunan dan sumbangan mereka amat dihargai dan mereka akan disanjungi oleh rakyat jelata dan mereka akan diagung-agungkan. Namun pemimpin akan mula melakukan kesilapan apabila mereka berasa selesa dan mulai tidak atau kurang membawa pembangunan kepada negara. Walaupun dahulunya mereka banyak menaburkan jasa kepada negara dan disanjungi oleh semua rakyat, tetapi apabila pemimpin mula kurang membawa pembaharuan dan tidak mentadbir negara dengan baik, rakyat akan mula berasa bosan dan mencari pemimpin lain yang boleh membawa perubahan kepada negara. Situasi sebegini banyak berlaku di negara-negara Asia Barat yang mana contoh yang amat jelas adalah seperti apa yang berlaku di Mesir sehingga menyebabkan bekas Presiden Mesir keempat, Muhammad Hosni Sayyid Mubarak yang memerintah Mesir selama hampir 20 tahun iaitu pada 1981 hingga 2011telah digulingkan dengan mudah oleh rakyatnya sendiri kerana beliau sudah mula ketandusan idea untuk membawa pembangunan kepada rakyat. Perkara yang sama juga telah berlaku ke atas pemimpin Libya, Muammar Muhammad Abu Minyar Gaddafi yang telah memerintah Libya sejak tahhun 1977 hingga 2011 apabila berlaku pergolakan berdarah dan beliau telah dibunuh oleh rakyat yang telah bangkit menentangnya.
Pemberontakan juga bukan perkara yang baru berlaku dalam sejarah ketamadunan manusia. Pemimpin Nazi, Jerman yang terkenal dengan pemerintahan kuku besi juga telah mengalami nasib yang sama. Adolf Hitler yang pada awalnya telah berjaya mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat Jerman di atas keupayaan dan kemampuan sebenar mereka setelah dikalahkan semasa Perang Dunia Pertama. Hitler telah membina satu empayar Jerman yang kuat dan berjaya menakluki hampir keseluruhan negara di Eropah. Beliau juga telah menggalakkan pertumbuhan industri di Jerman khasnya industri penghasilan kereta misalnya kereta Volkswagen yang berdiri megah sehingga kini. Walaupun pada awal pemerintahannya rakyat Jerman amat menyanjunginya, tetapi dengan kekejaman yang diamalkan ke atas rakyat Jerman beragama Yahudi, ia telah menyebabkan berlaku banyak penghijrahan keluar rakyat Jerman ke negara-negara Berikat. Ini telah merugikan Jerman itu sendiri dan Hitler akhirnya dikalahkan oleh tentera Berikat dan Jerman terpaksa berada di bawah pemerintahan tentera Berikat. Sejarah telah menunjukkan contoh bahawa negara bangsa yang kuat juga bisa tumpas jika pemimpinnya tidak memimpin negara dengan penuh kebijaksaan dan hanya mementingkan objektif personal.
Dalam menjadi seorang pemimpin yang baik, kita perlu mengetahui di manakah atau apakah sumber-sumber yang boleh digunakan untuk menuai atau mengutip pengetahuan dan pengalaman baru untuk menjadi pemimpin yang lebih baik. Pada pandangan saya perkongsian pengalaman dan pengetahuan dengan pemimpin-pemimpin setempat yang lain boleh menjadi sumber ini kepada pemimpin untuk belajar menjadi yang lebih baik. Contohnya seseorang ketua kampung mungkin mempunyai pengalaman yang berguna untuk dikongsi bersama seorang pemimpin Belia di komuniti tersebut. Jika dibandingkan tahap pendidikan formal yang diterima oleh kedua-dua orang pemimpin itu, pemimpin muda mungkin mempunyai pengiktirafan daripada universiti tetapi ketua kampung mungkin hanya menamatkan sekolah menengah, tetapi pengalaman dan pengetahuan ketua kampung dalam menguruskan kampung mungkin lebih luas dan lebih signifikan daripada seorang graduan universiti.
Sumber rujukan untuk menjadikan seseorang itu pemimpin yang lebih baik juga adalah melalui pembacaan buku-buku berkaitan pengurusan dan kepimpinan yang kini semakin mudah diperolehi. Buku-buku sebegini membantu pemimpin untuk mengenali atau memahami teknik-teknik yang boleh membantu untuk meningkatkan kecekapannya dalam memimpin. Pembacaan bahan-bahan ilmiah ini juga banyak mendedahkan kelemahan atau kekurangan yang ada pada kebanyakan pemimpin yang sedia ada dan dijelaskan dengan pengolahan yang ringkas membantu pembacanya untuk memahami perkara yang dibincangkan.
Selain daripada itu, penglibatan seseorang pemimpin dalam pelbagai program yang dianjurkan oleh pemimpin yang lain juga boleh membantu meningkatkan potensi diri mereka sebagai pemimpin. Melalui kehadiran ke majlis-majlis dan program yang pelbagai, ia memberi ruang dan peluang kepada pemimpin itu untuk mengenali dan mempelajari sesuatu yang baru. Ini kerana sesuatu program itu mungkin berbeza daripada majlis atau perkara yang lazim dilakukan olehnya. Misalnya seorang pemimpin berbangsa Melayu yang hadir ke majlis pemimpin berbangsa Cina atau India boleh mempelajari amalan budaya bangsa Cina atau India yang mana apa yang dipelajari itu boleh digunakannya olehnya pada masa hadapan. Ini kerana negara kita merupakan negara yang kaya dengan pelbagai budaya dan keturunan, oleh itu memerlukan para pemimpin untuk memahami perbezaan itu supaya mereka dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan situasi yang berbeza itu.
Saya turut mengaplikasikan perkara ini dapat kehidupan seharian, di mana saya cuba untuk bergaul dengan rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang agama dan kebudayaan supaya saya dapat memahami keunikan kebudayaan mereka. Apabila kita memahami kebudayaan mereka, ia akan membantu kita tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketidakselesaan mereka, misalnya mempersoalkan amalan keagamaan dan kepercayaan mereka yang mungkin berbeza dengan amalan dan kepercayaan yang dianuti oleh kita.
Dalam memastikan saya terus berkembang dan membangun sebagai seorang pemimpin, saya akan sentiasa cuba untuk memajukan diri dengan melibatkan diri dengan pelbagai program dan aktiviti. Saya gemar melibatkan diri dengan aktiviti yang diadakan di peringkat jabatan semasa bertugas di Kementerian. Malah apabila pulang ke kampung saya akan melibatkan diri dengan program atau upacara keagamaan yang diadakan di peringkat komuniti masyarakat Siam setempat. Selain daripada itu saya juga sedang membina networking atau rangkaian kerja dengan rakan-rakan yang sedang bersama-sama mengikuti Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) Bilangan 1 Tahun 2011 pada kali ini. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk mengenali ramai kenalan baru daripada pelbagai jabatan dan agensi yang lain. Ini akan membantu saya untuk berkongsi pengalaman dan pendapat dengan rakan-rakan yang mempunyai pelbagai latar belakang kebudayaan, pendidikan dan pengalaman kerja yang berbeza.
Kesimpulan yang boleh saya nyatakan di sini, untuk menjadi seorang pemimpin, seseorang itu tidak semesti dilahirkan di dalam keluarga pemimpin. Pemimpin juga boleh lahir dari kalangan orang kampung yang tidak mempunyai banyak pendedahan kepada dunia luar dan peluang pendidikan seperti mana yang biasa tersedia kepada mereka yang lahir di dalam keluarga yang sudah berpengaruh. Dengan persekitaran dan faktor galakan yang betul, kepimpanan dan ciri-ciri kepimpinan boleh dibentuk dan diasah kepada semua insan dan bergantung kepada seseorang itu sendiri untuk merebut peluang itu atau tidak. Oleh itu saya sentiasa melihat Than Boon sebagai seorang pemimpin yang akan menjadi sumber aspirasi kepada komuniti Siam seperti saya. Di samping itu, terdapat juga tokoh-tokoh lain yang dari masa ke semasa menjadi sumber rujukan dan model kepada pembawaan diri saya secara sengaja atau tidak sengaja. Akan tetapi ia tetap bergantung kepada diri kita sendiri untuk mengekspreskani diri sebagai pemimpin atau hanya sebagai seorang pengikut.
Rujukan:
2. http://en.wikipedia.org/wiki/Mahathir_Mohamad
6. Raising Kids With Character (2006); Elizabeth Berger
7. Leadership Stories From Tomorrow (2009); Thomas R. Ryan dan Ron A. Carucci
8. Teori dan Teknik Kepimpinan : Panduan Aplikasi Di Tempat Kerja (2003); Ainom Mohd
9. Membina Kemahiran Kepimpinan (2009); John Adair, Institut Penterjemahan Negara Malaysia Bernada
10. Why Should Anyone Be Led By You? What It Takes to Be an Authentic Leader] (2006); Rob Goffee and Gareth Jones
No comments:
Post a Comment