Sunday 18 November 2012

AHMAD BOESTAMAM: LAMBANG PERJUANGAN ANAK MUDA

Beliau dilahirkan pada 30 November 1920 di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Nama asal beliau ialah Abdullah Thani Raja Kechil dan di dalam bidang kesusasteraan beliau senang menggunakan nama pena Ruhi Hayat.

Beliau menerima pendidikan awal peringkat sekolah Melayu di kampung halamannya sendiri sehingga tamat darjah lima, sebelum gigih menyambung pelajaran di Sekolah Anderson, Ipoh pada 1933 sehingga darjah tujuh. Beliau memiliki Sijil Tinggi Persekolahan (HSC) di antara tahun 1963 hingga 1967 dan apa yang menariknya beliau lulus HSC dengan belajar di dalam penjara apabila ditahan pihak British di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau pernah melanjutkan pelajaran di dalam bidang undang-undang di Lincoln’s Inn di London, tetapi beliau gagal menamatkan pengajian di dalam bidang berkenaan dan beralih ke Premier Journalist School juga di London untuk memperoleh diploma kewartawanan pada 1969.

Boestamam menguasai bahasa dengan cukup baik dan beliau merupakan seorang penulis yang mampu meluahkan makna dengan berkesan. Boestamam mula berjinak-jinak di alam penulisan sejak berusia 15 tahun lagi. Selain daripada penulisan politik dan serius, Boestamam juga terkenal dengan karangan puisi-puisi perjuangan yang mampu menaikkan semangat dan roh penentangan.

Boestamam merupakan di antara barisan pejuang kiri yang mahukan kemerdekaan untuk negaranya dan negara kita semua, Malaysia dan jika kita mengamati dan memahami sejarah secara penuh dan berfokus, kita akan dapat mengesan bahawa di antara elemen yang menjadi kelebihan kepada pejuang-pejuang golongan yang dikatakan kiri ini ialah penguasaan tinggi di dalam bidang bahasa dan penulisan.

Melalui gaya penulisan kita sudah boleh mengagak peribadi dan sikap Boestamam terhadap perjuangan dan tanah air. Daripada puisinya sahaja kita sudah boleh menangkap kegarangan mata manusia yang berpenakan nama Ruhi Hayat.

Boestamam mula menulis secara serius sejak 1940an lagi. Apa yang paling menarik di dalam perkembangan politik dan perjuangan beliau ialah kemampuan untuk menulis Testament Politik API pada 1947. Ini merupakan satu pencapaian luar jangka bagi perjuangan anak muda pada waktu itu. Apa yang dilakukan Boestamam jelas menjangkaui pemikiran zamannya. Pada ketika itu, masih belum wujud apa-apa dokumen atau manifesto perjuangan politik Melayu yang digariskan secara jelas seperti yang ditunjukkan Boestamam melalui Testament Politik API. Dokumen bermakna ini bukan hanya kukuh dari sudut isi, tetapi turut menampilkan kematangan bahasa dan keutuhan semangat serta idea Boestamam dan anggota API yang lainnya. Untuk rekod, API ialah akronim kepada pertubuhan pemuda Angkatan Pemuda Insaf.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Boestamam mempunyai keupayaan sebagai seorang wartawan yang baik. Sebelum bergiat aktif di dalam politik, beliau pernah bekerja di beberapa akhbar tempatan seperti akhbar Saudara di Pulau Pinang, akhbar Warta Kinta di Ipoh, akhbar Majlis di Kuala Lumpur dan akhbar perjuangan terkenal di Tanah Melayu, Utusan Melayu di Singapura.

Boestamam merupakan pejuang yang sudah lali dengan kehidupan penuh seksa di dalam penjara penjajah. Beliau pernah ditahan British kerana terlibat di dalam gerakan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob. Beliau dibebaskan selepas Jepun menawan Tanah Melayu. Beliau juga pernah merengkok di dalam tahanan sewaktu British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu pada 1948.

Boestamam sememangnya seorang pemimpin yang hebat pada zamannya. Beliau mampu menyemarak api perjuangan dalam kalangan jiwa anak-anak muda. Beliau mempunyai keupayaan menggerakkan massa mengangkat senjata melawan penjajah. Namun, apa yang dikecewakan ialah sikap sebahagian rakyat Malaysia pada hari ini yang masih ada memegang pandangan Boestamam ini pengganas, Boestamam ini komunis, Boestamam ini tidak ada agama. Tohmahan-tohmahan sebegini jelas tidak berasaskan fakta nyata dan pembetulan konkrit wajar dibuat untuk menyelamatkan nama tokoh terbilang ini.

Boestamam amat meminati keupayaan tokoh-tokoh revolusi Indonesia seperti Bung Tomo. Kecenderungan Boestamam ini dilihat tidak ada salahnya kerana ramai pemuda Melayu pada waktu itu turut meminati gaya kepimpinan pejuang-pejuang dari seberang ini. Selain daripada Bung Tomo, Boestamam juga mengakui bahawa beliau mengagumi ketokohan dan pengaruh Subhas Chandra Bose yang mampu mengumpulkan kekuatan rakyat India di Tanah Melayu dan Singapura untuk berjuang melawan British di India demi untuk merasai nikmat merdeka yang diidam-idamkan.

Boestamam jelas memiliki idealisme perjuangan politik yang tinggi dan tidak boleh dipertikaikan. Beliau terlibat di dalam banyak usaha menggerakkan pertubuhan-pertubuhan politik baharu dan mempunyai manifesto perjuangan menghalau penjajah British. Semasa pemerintahan Jepun, Ahmad Boestamam bertugas dengan badan propaganda Jepun yang dikenali di dalam bahasan Jepun sebagai Sesden Ka. Di dalam badan ini, beliau berperanan menapis cerita-cerita bangsawan Melayu.

Penglibatan Boestamam di dalam Sesden Ka, bukan sebagai tujuan khianat terhadap negaranya dengan bersekongkol dengan penjajah, tetapi beliau dalam masa yang sama mahu mendapatkan maklumat tentang kepimpinan Jepun. Ini dibuktikan apabila dalam masa yang sama beliau menubuhkan Gerakan Kiri Tanah Air (KITA) bersama-sama dengan beberapa tokoh yang mempunyai kaitan rapat dengan pertubuhan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) seperti Zulkifli Ownie, Haji Ramli Said dan Mokhtar Albakri. Gerakan ini bergerak sebagai sebuah gerakan sulit dan rahsia serta berselindung di sebalik nama Barisan Pemuda Melayu. Gerakan ini bukan sahaja mempelajari soal idea politik tetapi turut menganjurkan latihan ketenteraan.

Cita-cita Boestamam untuk bangsa Melayu jelas besar dan universal. Beliau memiliki idea untuk menyatukan Tanah Melayu dengan Indonesia dan seterusnya mencapai kemerdekaan awal pada 1945 dengan penubuhan bercorak kesatuan, Melayu Raya. Idea ini sebenarnya mampu mewujudkan sebuah Negara Melayu yang gagah kerana populasi dan keluasan fizikal. Namun usaha beliau gagal dan selepas Jepun, British kembali ke tanah Melayu.

Cabaran British pasca penjajahan British bukanlah lagi mudah. Orang-orang Melayu sudah mempunyai kesedaran politik yang sebenarnya mereka mampu hidup walaupun tanpa kehadiran British. Kesedaran sebegini amat membimbangkan British. Akhbar-akhbar radikal digunakan secara meluas untuk membendung pengaruh dan kekuasaan British. Boestamam semasa kedatangan semula British bekerja di akhbar Suara Rakyat yang berpangkalan di Ipoh. Menerusi akhbar ini, Boestamam menulis artikel-artikel keras yang mengutuk dasar dan pemikiran imperialisme British. Beliau giat menyebarkan idea-idea penghapusan penjajah dan mahu mengumpul massa bagi menumbangkan British. Akhbar ini bukan akhbar biasa kerana di pejabat akhbar ini tertubuh sebuah parti Melayu yang berpengaruh dan jelas mahu merdeka. Parti yang dimaksudkan ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Parti yang ditubuhkan pada 1945 ini telah memilih Mokhtarudin Lasso sebagai presiden pertama.
PKMM bergerak di atas lapan dasar utama dan di antara yang boleh disebutkan ialah:

  1. mencapai kemerdekaan dan memperoleh hak asasi untuk berucap, berhimpun, berfikir dan menuntut ilmu;
  2. meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat Melayu; dan
  3. kebebasan untuk mendirikan sekolah dan mendapatkan pendidikan secara bebas dan percuma.

Boestamam telah dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa PKMM dan selang beberapa bulan selepas itu, beliau menubuhkan API yang menjadi sayap pemuda kepada PKMM. API dilihat sebagai sebuah badan politik yang progresif dan agresif di dalam perjuangan. Watak garang yang ditampilkan di dalam gerakan ini jelas dapat dibaca melalui slogannya yang berbunyi, ‘Merdeka dengan Darah.’ Tugas API pada waktu itu ialah memberikan kesedaran politik kepada anak-anak muda untuk turun berjuang dan menamamkan semangat rela bekorban demi mempertahankan tanah air.

PKMM dan API ketika itu melihat bahawa perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu turut wajar melibatkan organisasi politik dan buruh yang bermajoritikan kaum bukan Melayu termasuk India dan Cina. Atas inisiatif berkenaan, Ahmad Boestamam telah ke hadapan dengan persetujuan parti untuk menyatukan terlebih dahulu badan-badan politik haluan kiri Melayu ke dalam sebuah gabungan konkrit. Usaha ini berhasil dengan tertubuhnya gabungan yang dikenali sebagai Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada Disember 1946. Gabungan yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) ini berjaya menggabungkan pertubuhan-pertubuhan seperti PKMM, Parti Kebangsaan Melayu (MNP), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), API, Gerakan Angkatan Muda (GERAM) dan Barisan Bertindak Tani (BATAS).

Gabungan PUTERA ini bergerak dan telah menemui kaedah perjuangan yang bersifat pelbagai bangsa dengan menubuhkan satu gerakan bersifat massa dengan bergabung dengan All Malaya Council Joint Action (AMCJA). Gabungan baharu ini dikenali sebagai AMCJA-PUTERA. AMCJA diketuai oleh Tan Cheng Lock, seorang pemimpin Cina yang berpengaruh di Tanah Melayu. Gabungan ini jelas menggemparkan British kerana pengaruh politik kiri telah merentasi batas kaum dan mampu menggugat kestabilan pentadbiran British. AMCJA yang turut ditubuhkan pada waktu yang hampir sama dengan PUTERA iaitu pada Disember 1946, dianggotai oleh pertubuhan-pertubuhan kiri yang bermajoritikan bukan Melayu seperti Malayan Democratic Union (MDU), Malayan Indian Congress (MIC), New Democratic Young League (NDYL) dan Pan Malaya Federation Trade Union (PMFTU).

Kemuncak kepada gabungan AMCJA-PUTERA ini ialah keupayaan menghasilkan draf Perlembagaan Rakyat untuk melawan draf Perlembagaan Persekutuan yang dikemukakan UMNO hasil persetujuan British dan raja-raja Melayu. Draf setebal 60 muka surat ini juga hasil perbincangan kolektif yang turut melibatkan peranan aktif Boestamam. Di antara isi draf perlembagaan ini ialah:

  1. Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura merdeka dan membentuk satu negara;
  2. Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dipilih oleh rakyat;
  3. Kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berpelembagaan;
  4. Hak dan Keistimewaan Melayu dipertahankan;
  5. Tanah Melayu menjadi negara bangsa dengan rupa bangsa setiap warganegara dikenali sebagai Melayu;
  6.  Agama Islam ditadbir oleh satu majlis khas yang berwibawa; dan
  7. Bendera serta lagu kebangsaan ditetapkan di dalam Perlembagaan.

AMCJA – PUTERA amat serius untuk mengemukakan cadangan perlembagaan ini kepada British. Namun semua cadangan di dalam draf perlembagaan ini telah ditolak oleh Parlimen British. Disebabkan tidak berpuas hati dengan tindakan British, AMCJA-PUTERA telah bersetuju untuk menganjurkan Hartal Se-Malaya untuk memboikot ekonomi dalam masa sehari. Usaha ini ialah untuk menggugat kedudukan British yang semakin giat menjarah ekonomi Tanah Melayu. Hartal yang berlangsung pada Oktober 1947 ini berjaya menonjolkan pengaruh dan kekuatan sebenar AMCJA-PUTERA sehingga menggerunkan British. Namun, penjajah dengan liciknya mengemukakan alasan kononnya gerakan AMCJA-PUTERA ini didalangi komunis. Pada Julai 1948, British telah membatalkan permit penerbitan akhbar dan mengharamkan parti-parti kiri Melayu termasuk PKMM dan API yang dipimpin Boestamam. British menyebut bahawa parti-parti ini semuanya berhasrat mahu menghapuskan raja-raja Melayu dan bersekongkol dengan pengganas komunis.

Tuduhan tidak berasas ini juga digunakan British untuk mengisytiharkan darurat dan menangkap lebih 1,500 pemimpin dan anggota gerakan kiri. Akhirnya gabungan AMCJA-PUTERA ini lumpuh dengan cara tidak adil yang digunakan penjajah Inggeris.

Ahmad Boestamam juga tidak terkecuali. Beliau ditangkap dan dipenjara sehingga Julai 1955. Namun, beliau bukanlah pejuang yang mengenal erti tewas. Beliau masih aktif menulis dan menghasilkan cerpen serta artikel tentang keadilan sosial dan penindasan sepanjang berada dalam tahanan. Beliau juga beberapa kali mengadakan mogok lapar semasa ditahan bagi membantah ketidakadilan dan cara layanan buruk pihak British terhadap tahanan politik. Keberanian beliau sukar digugat walaupun tangan dan kaki dibelenggu.

Semangat gigih beliau tidak pernah putus dan sebaik sahaja bebas daripada tahanan, beliau menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM) pada November 1955. Sikap bertegas dan radikal melawan kezaliman tidak pernah luntur dan beliau seperti menempah sengsara sekali lagi apabila dikenakan tahanan ISA pada 1963 hingga 1967.

Apa yang menariknya selepas dibebaskan pada 1955, beliau bertanding di kerusi Parlimen Setapak, Selangor pada Pilihanraya Umum Pertama Persekutuan Tanah Melayu. Beliau bertanding di atas tiket Barisan Sosialis yang terbentuk hasil gabungan PRM dan Parti Buruh. Apa yang menariknya beliau menang kerusi berkenaan menewaskan calon Perikatan yang tidak kurang hebatnya, Tan Sri Aishah Ghani.

Ahmad Boestamam merupakan pejuang yang wajar dijadikan kebanggaan anak muda pada hari ini. Nama beliau bukan sekadar menjadi sebutan di dalam negara, tetapi juga pernah disebut beberapa kali di dalam karya Walter Theimer, Encyclopedia of World Politics.

Semangat Boestamam boleh tergambar nyata dalam petikan kata Usman Awang yang diterbitkan Dewan Sastera keluaran April 1983:

“Selama lebih dari 5,745 hari telah direbahkannya dalam penjara, selama ribuan hari lagi dipikulnya dalam beban rasa dan kesulitan kehidupan bersama keluarga. Namun, tidak ada perkataan menyerah untuknya. Ahmad Boestamam – putera besar tanah air adalah contoh dari suatu kegigihan dan API yang dinyalakannya dulu, kini telah menjadi unggul sejarah yang tidak kunjung padam.”

Ahmad Boestamam meninggal dunia pada 19 Januari 1983 dan perjuangannya masih berbekas di dalam jiwa. Al-Fatihah.

MUHAMMAD DANIYAL ABD KADIR
DPA 1/2012

RUJUKAN
  1. Ahmad Boestamam (2004), Memoir Ahmad Boestamam, Bangi, UKM
  2. Ramlah Adam (1994), Ahmad Boestamam: Satu Biografi Politik, KL, DBP
  3. Ahmad Boestamam (1979), Memoir Seorang Penulis, KL, DBP
  4.  Ahmad Boestamam (1976), Tujuh Tahun Malam Memanjang, KL, Amir Enterprise
  5. Ahmad Boestamam (1972), Merintis Jalan ke Punchak, KL, Penerbitan Pustaka Kejora
  6. Zabidin Hj. Ismail (2010), Pemikiran Politik dalam Novel-novel Ahmad Boestamam, KL, Universiti Malaya Press
  7. AMCJA-PUTERA (2005), The People's Constitutional Proposals For Malaya 1947, KL, Ban Ah Kam
  8. 10tahun.blogspot.com
  9. Filem Dokumentari 10 Tahun Sebelum Merdeka, Fahmi Reza, Kuala Lumpur
  10. www.facebook.com/pusatsejarahrakyat

No comments: