Monday 19 November 2012



RESEPI KEJAYAAN BRAHIM’S

 


 


Pada 64 tahun yang lepas, seorang bayi telah dilahirkan di Pulau Pinang dan diberikan nama oleh ibu bapanya sebagai Ibrahim bin Ahmad Badawi. Kini, beliau merupakan seorang pakar makanan berteknologi tinggi yang terkenal di negara ini. Pasti rata-rata rakyat Malaysia kenal dengan jenama Brahim’s. Itulah pengasas bagi jenama produk makanan Brahim’s iaitu Datuk Haji Ibrahim bin Haji Ahmad Badawi. Beliau juga merupakan abang kepada mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 iaitu Yang Berbahagia Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi. 

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains dari Louisiana State University adalah merupakan seorang pensyarah di dalam bidang teknologi makanan di sebuah universiti. Kemudian beliau menjadi pakar perundingan makanan yang berasaskan pertanian dan membuat penyelidikan bersama-sama dengan usahawan dan juga pakar pemakanan di Jepun iaitu  Encik Tatsunobu Abe. Seterusnya pada tahun 1986 jenama Brahim’s telah diwujudkan dan pada tahun 1988 jenama ini telah diperkenalkan secara rasminya di negara ini melalui syarikat Dewina Food Industries Sdn Bhd.

Di awal penubuhan syarikat tersebut, ia lebih dikenali sebagai pembekal makanan halal kepada pihak ketenteraan di Malaysia dan juga pihak ketenteraan di serantau negara Asia. Jenama Brahim’s juga telah membekalkan makanan ketenteraan kepada pihak tentera Amerika Syarikat dan juga kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Sebab utama jenama Brahim’s menjadi pilihan utama adalah kerana ciri-ciri pembungkusan teknologi tinggi bagi produk makanan yang dikeluarkan oleh syarikat beliau. Kemudian Brahim’s secara beransur-ansur memantapkan pasaran secara komersil pada sekitar tahun 1990-an bagi mengukuhkan lagi jenama Brahim’s bagi pasaran di Malaysia.

Berkat kesabaran serta semangat yang kuat Datuk Haji Ibrahim bin Haji Ahmad Badawi sewaktu menghadapi arus kegawatan ekonomi pada tahun 1998 telah mengukuhkan lagi jenama Brahim’s di Malaysia. Tanpa mengenal erti kekalahan, beliau membuat keputusan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Ini kerana sewaktu era kegawatan ekonomi di Malaysia pada tahun 1998, trend pemakanan telah bertukar arus yang mana memilihan pemakanan rakyat Malaysia pada ketika itu lebih mahukan sesuatu yang mudah, cepat dan sedap bagi penyediaan makanan seisi keluarga. Apa yang pasti, jenama Brahim’s telah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia pada ketika itu. Tanpa makanan dan minuman yang terbaik tidak mungkin jenama Brahim’s mampu menyediakan makanan bagi angkasawan pertama di negara ini iaitu Datuk Sheikh Muszaphar Shukor kerana keyakinan beliau terhadap produk Brahim’s yang mampu bertahan lama ketika berada di angkasa lepas.

Datuk Haji Ibrahim bin Haji Ahmad Badawi bukan sahaja merupakan ikon produk makanan terbuka di negara ini. Beliau juga turut memegang jawatan-jawatan yang penting di dalam organisasi yang terkenal. Antara jawatan yang disandang oleh beliau ialah:

1.            Wakil negara untuk Rangkaian Serantau UNESCO bagi Sains Asas;

2.            Setiausaha Agung ASEAN Persekutuan bagi Industri Pemprosesan Makanan

3.            Ahli Lembaga Pengarah SIRIM; dan

4.            Ahli Lembaga Pengarah Majlis Persatuan Mikrobiologi Malaysia dan Institut Teknologi Makanan Malaysia.

Pelbagai lagi jawatan utama yang disandang oleh Datuk Haji Ibrahim bin Haji Ahmad Badawi kerana kepakaran beliau di dalam teknologi makanan. Malahan, syarikat yang menggunakan jenama Brahim's kini merupakan antara pengeluar produk makanan tempatan segera utama di negara ini. Jenama kebanggaan Malaysia iaitu Brahim's kini boleh didapati di pasaran seluruh Asia dan Eropah. Mengikut rekod oleh syarikat Brahim’s, hampir 1 juta pek produk jenama Brahim’s dikeluarkan setiap bulan.

Antara strategi utama yang diketengahkan oleh Datuk Haji Ibrahim bin Haji Ahmad Badawi ialah mempromosikan produk yang pasti serta dijamin kesedapannya. Sehubungan dengan itu, Brahim's mempertaruhkan beberapa resipi masakan tradisional tempatan seperti kurma ayam, kari ayam, rendang, sambal tumis sehingga kepada beberapa jenis nasi seperti nasi beriani dan nasi goreng. Kini jenama Brahim’s sebagai makanan tempatan mampu dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia yang mengembara ke serata dunia.

Datuk Haji Ibrahim bin Haji Ahmad Badawi tidak pernah merasa selesa dengan kedudukan dan kejayaan yang dikecapi oleh beliau. Beliau sentiasa menerokai teknologi terkini bagi memastikan kualiti rasa serta tekstur makanan yang dihasilkan oleh Brahim’s terjamin setiap masa. Ini diakui oleh Datuk Haji Ibrahim bin Haji Ahmad Badawi bahawa penyelidikan dan pembangunan yang berterusan adalah merupakan antara 'resipi' kejayaan jenama Brahim's sejak 26 tahun dahulu sehingga kini.

Kejayaan syarikat beliau yang mampu mengawetkan makanan tradisional tanpa menggunakan bahan pengawet serta tidak mengubah teksturnya adalah merupakan kerana produk makanan Brahim’s perlu melalui proses penyelidikan serta pembangunan yang terperinci. Proses tersebut telah dimulakan semenjak tahun 2004. Namun beliau menegaskan bahawa proses tersebut tidaklah semudah yang disangka. Berkat usaha dan kesabaran Datuk Haji Ibrahim bin Haji Ahmad Badawi, maka wujudlah sebuah kilang serta makmal khas yang mempunyai pelbagai peralatan teknologi tinggi bagi tujuan ujian untuk menghasilkan produk makanan sebenar.

Penerima Anugerah Kecemerlangan Produk daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ini turut menjamin produk yang dihasilkan daripada jenama Brahim’s adalah 100 peratus asli. Datuk Haji Ibrahim bin Haji Ahmad Badaw juga tidak lokek untuk membelanjakan sejumlah besar peruntukan bagi pembangunan produk yang bakal dikomersialkan. Sesuatu produk makanan yang bakal dikomersialkan, ia perlu melalui proses dan ujian yang dijalankan di kilang yang bertempat di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Brahim's telah melancarkan produk barunya pada 27 Mei 2011 yang lepas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Brahim’s telah mengeluarkan sebanyak lima (5) sos segera yang baru iaitu Pes Nasi Tomato, Sos Percik, Sos Tiga Rasa, Pes Tandoori dan Pes Nasi Briyani melalui Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia. Dengan pengeluaran sos tersebut, ia sekali gus melengkapkan produk yang sedia ada Brahim’s kepada 43 jenis sos di pasaran di Malaysia.

Datuk Haji Ibrahim bin Haji Ahmad Badawi memaklumkan bahawa kejayaan produk Brahim’s yang telah berjaya dikenali di serata dunia bukanlah sesuatu pekara yang mudah untuk dikecapi. Ia merupakan sebuah perjalanan yang memakan masa yang lama melalui kekuatan minda dan jiwa, kesabaran, sifat inovasi dan tidak mengenal erti kekalahan oleh beliau. Kini, beliau mampu untuk berbangga dan bersyukur pada Allah S.W.T kerana produk Brahim's yang dicipta oleh beliau untuk mempromosikan makanan Malaysia dengan kualiti bertaraf antarabangsa telah berjaya di peringkat dunia juga telah dinikmati oleh sebahagian besar jemaah haji Malaysia kerana piawaian standard halal syarikatnya. Produk Brahim’s juga turut melambangkan kepelbagaian warna dan rasa masyarakat majmuk Malaysia dan inilah keunikan produk Brahim’s yang memenuhi semangat 1Malaysia.

Semoga dengan kejayaan Datuk Haji Ibrahim bin Haji Ahmad Badawi menjadi contoh terbaik dan berguna buat pengusaha industri makanan di seluruh Malaysia khususnya golongan Bumiputra.  Sebagai rakyat Malaysia juga, saya berbangga Brahim’s adalah syarikat Malaysia sepenuhnya dan berharap warisan dan kegemilangan jenama Brahim’s tidak akan terhenti di sini dan akan terus wujud jenama lain terkemuka di seluruh dunia yang datangnya daripada Malaysia, InsyaAllah.

RUJUKAN

1.            IBH Investment Bank Limited

2.            http://www.brahimsfood.com


4.            http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_0.htm#ixzz2CaVHU05L
© Utusan Melayu (M) Bhd

5.            http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Admudabinakilanggula/Article/index_html


Daripada:
Liza Juliana binti Mafaudzil
Sidang C 
Diploma Pengurusan Awam (DPA) Bil. 1/2012

1 comment:

Anonymous said...

perosak MAS